Wednesday, September 15, 2010

MANDI HADAS MENGIKUT SUNNAH


AKHTAR: Mandi wajib di sebabkan junub atau perempuan yang lepas haid atau bersalin adalah wajib. Ada banyak cara melakukannya, dan berikut adalah perbuatan yang di amalkan oleh Nabi Muhammad (saw).

TEGUH: Diriwayatkan dari Aisyah r.a ia berkata: Rasulullah (saw) memulakannya dengan membasuh kedua tangan, kemudian menuangkan air dengan menggunakan tangan kanan ke tangan kiri, kemudian membasuh kemaluan dan berwudhu sebagaimana yang biasa dilakukan ketika ingin mendirikan sholat. Kemudian menyiram rambut sambil memasukkan jari ke pangkal rambut sehingga rata. Setelah selesai membasuh kepala sebanyak tiga kali, seterusnya membasuh seluruh tubuh dan akhirnya membasuh kedua kaki.

MULIA: Ringkasan cara mandi wajib berdasarkan dalil-dalil di atas ialah: (1) Niat - bahawa setiap amal mestilah dengan niat; (2) Membaca ‘Bismillah’; (3) Mencuci tangan sebanyak tiga kali; (4) Mencuci kedua-dua kemaluan (depan dan belakang) dengan tangan kiri; (5) Menggosokkan tangan ke tanah lalu mencucinya tetapi sekarang boleh mencuci tangan dengan menggunakan sabun. Segala perbuatan-perbuatan ini dan seterusnya di sunatkan bermula dari bahagian kanan; (6) Berwudhu - boleh dilakukan seperti wudhu untuk solat dan ada yang menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi; (7) Menyela-nyela rambut secara merata lalu menyiramnya 3 kali dengan air; (8) Meratakan air ke seluruh tubuh termasuk semua lipatan tubuh seperti ketiak, pangkal peha, belakang lutut; (9) Beralih dari tempat mandi dan membasuh kaki. Rasulullah tidak berwudhu lagi setelah mandi.

TEGUH: Ada pendapat menyatakan bahawa Rasulullah saw tidak melafal niat mandi junub, seperti “nawaitu gusla/aku niat mandi dst:….”. Dalam perkara ini lebih baik kita bertanya dengan para ilmuan kita. Kami pun kurang pasti. Kita bimbang dengan sabda Rasulullah (saw) bahawa : “Barang siapa berbuat suatu amalan yang tidak ada padanya perintah kami (Allah dan Rasul-Nya), maka amalan itu tertolak”.

FAEZ: Ketika menyiram kepala hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian, bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah ra. (Sahih Muslim: 318).

AKHTAR: Bagi wanita yang dalam keadaan junub, dibolehkan untuk tidak melepaskan ikatan rambutnya. Ini berdasarkan hadis Ummu Salamah ra, dimana beliau berkata: Aku berkata kepada Rasulullah saw “Wahai Rasulullah saw، sesungguhnya aku perempuan yang suka mengikat rambutku. Perlukah aku membuka ikatan tersebut ketika mandi junub? Jawab Rasulullah saw: “Tidak, cukuplah bagi kamu dengan menyiramkan air ke atas kepala kamu sebanyak 3 kali dan meratakan air ke seluruh tubuh kamu, dan kamu sudah dikira sudah bersuci. (Sahih Muslim:330).

TEGUH: Akan tetapi jika mandi untuk haidh, maka dianjurkan untuk melepaskan ikatan rambut. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah ra di dalam sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haidh ketika menunaikan haji. Lalu baginda saw berkata sedemikian: “Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”.

MULIA: Selamat beramal ibadat.

No comments:

Post a Comment