Sunday, March 30, 2014

MASBUK DAN MUAFIK


Apabila kita memasukki sesuatu solat berjemaah yang imamnya agak lama telah memulakan solat, kita akan mengikuti imam dengan dua cara iaitu MUAFIK atau MASBUK.

MUAFIK berlaku apabila makmum mempunyai masa yang cukup untuk menghabiskan bacaan surah al-Fatihah bersama-sama imam dengan kelajuan bacaan yang sederhana.

MASBUK pula ialah apabila makmum tidak dapat masa yang cukup untuk menghabiskan bacaan surah al-Fatihah bersama-sama imam dengan kelajuan bacaan yang sederhana.

Biasanya makmum akan masuk berjemaah apabila iman dalam keadaan posisi-posisi berikut:-

(i) di mana imam berada di penghujung bacaan surah al-Fatihah atau imam baru mula membaca surah-surah lazim selepas membaca surah al-Fatihah, atau 


(ii) imam berada di hujung pembacaan surah-surah lazim, atau 


(iii) imam berada dalam posisi rukuk, atau 


(iv) imam berada dalam posisi sujud.

Kalau imam dalam posisi ke (iv) i.e. sujud, maka makmum hendaklah bertakbiratulihram, qiam (berdiri sebentar dalam 2 saat), dan terus sujud mengikuti imam (makmum tidak perlu membaca al-Fatihah atau rukuk). Namun rakaat ini tidak di kira sebagai rakaat lengkap, maka makmum perlu mengganti atau tambah rakaat ini selepas imam memberi salam nanti.


Kalau imam dalam posisi ke (iii) i.e. rukuk, maka makmum hendaklah bertakbiratulihram, qiam, dan terus rukuk bersama imam. Makmum tidak perlu membaca al-Fatihah. Al-Fatihah makmum ditanggung oleh imam. 


Kalau imam dalam posisi ke (ii) i.e. imam sedang membaca penghujung surah lazim, maka makmum hendaklah bertakbiratulihram, qiam dan membaca surah al-Fatihah. Imam sterusnya rukuk, maka makmum hendaklah rukuk bersama imam. Bacaan surah al-Fatihah yang tidak selesai oleh makmum itu akan ditanggung oleh imam. 


Kemasukkan makmun dalam berjemaah pada posisi-posisi (ii), (iii) dan(iv) dianggap sebagai Masbuk.

Makmum yang mendapat  rukuk bersama-sama imam pada posisi ke (ii) dan ke (iii) ini di anggap mendapat rakaat penuh. Tidak perlu penambahan rakaat oleh makmum selepas imam memberi salam.


Sekarang kita bincang posisi (i). Dalam posisi ini, makmum pada kebiasaannya akan dapat membaca surah al-Fatihah sehingga selesai sebelum imam rukuk. Posisi (i) ini dianggap sebagai contoh MUAFIK.


Dalam keadaan Muafik, makmum WAJIB membaca surah al-Fatihah hingga selesai. Hukum dalam solat berjemaah memberi sedikit "kelonggaran" dalam kes Muafik ini.


Makmum boleh teruskan bacaan Fatihahnya sehingga imam di peringkat "BANGKIT dari sujud kedua". Ada akan bertanya bagaimana halnya...kerana imam telah jauh kedepan dengan beberapa rukun seperti rukuk,iktidal,sujud pertama, duduk antara dua sujud, dan sujud kedua...5 rukun kesemuanya.


Di bawah Muafik...kerana keuzuran, makmum dibolehkan tertinggal daripada imam tiga rukun panjang..... rukun panjang ialah rukuk, sujud pertama dan sujud kedua.

Tetapi jika sekiranya makmum masih tidak selesai bacaan surah al-Fatihah sehingga imam tegak berdiri daripada sujud tadi, solat makmum terbatal.

Dalam kes bacaan al-Fatihah yang tidak selesai ini, makmum ada dua pilihan:-


(1)   Makmum berhenti baca Fatihahnya yang tidak selesai itu, cepat-cepat rukuk dan sujud, berdiri tegak bersama-sama imam pada rakaat seterusnya. Dalam kes ini, rakaat berkenaan di anggap TIDAK lengkap (kerana bacaan Fatihah tidak habis) dan makmum perlu menggantikan rakaat baharu selepas imam memberi salam nanti; ATAU


(2) Makmum bertukar niat kepada MUFARAQAH iaitu berpisah dari imam. Dalam kes ini, makmum teruskan bacaan Fatihahnya sehingga selesai, rukuk, sujud dan seterusnya. Ingat: apabila mufaraqah, seseorang itu tidak menjadi makmum lagi...sudah bercerai dari imam.



Sebagai rumusan dari segi hukum bahawa :-


(a) jika makmum tertinggal SATU rukun fe'li (perbuatan) yang panjang daripada imam TANPA keuzuran, maka solat makmum TIDAK batal


(b) jika makmum tertinggal DUA rukun fe'li yang panjang daripada imam TANPA keuzuran, maka solat makmum BATAL;


(c) Sebaliknya DENGAN KEUZURAN, makmum masih sah solatnya jika tertinggal  TIGA rukun fe'li yang panjang daripada imam. Di antara faktor keuzuran ialah seperti makmum lambat membaca surah al-Fatihah sedangkan imam cepat membacanya.


Di antara rukun fe'li yang panjang ialah rukuk dan setiap sujud. Duduk di antara dua sujud tidak dianggap sebagai rukun panjang.


Dalam ke (c) di atas di anggap sebagai MUAFIK i.e. makmum di anggap mempunyai masa yang cukup untuk bacaan surah al-Fatihah.  


Jika ada apa-apa keterangan di atas kurang jelas, kami memohon maaf.

No comments:

Post a Comment