Saturday, November 1, 2014

STATUS WUDUK KETIKA TIDUR

Dalil yang menyatakan batal wuduk apabila tidur. Ini adalah berdasarkan hadis Shofwan bin Ghassal, dia berkata: Rasulullah s.a.w memerintahkan bila sedang berada dalam perjalanan supaya kami tidak membuka kasut selama tiga hari hingga malam kecuali bila junub, tetapi agar membukanya apabila buang air besar atau kecil dan jika tidur.

Hadis ini membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w mengkategorikan tidur bersama-sama dengan buang air besar atau kecil yang turut membatalkan wuduk.

Ada banyak pandangan mengenai tidur ini. Di antaranya ialah:

(1) Tidur sama sekali tidak membatalkan wuduk. Pendapat ini dipegang oleh sekelompok sahabat seperti Ibnu ‘Umar, Abu Musa al-Asy’ari dan Sa’id bin Musayyab;

(2) Tidur samada sekejap mahupun lama secara mutlak membatalkan wuduk. Ini merupakan pandangan Abu Hurairah, Abu Rafi’, ‘Urwah bin Zubair, Atha’, al-Hassan al-Bashri, Ibnul al-Musayyib, Zuhri, al-Muzani, Ibnu Hazm, Abu Ubaid dan Ishaq bin Rahawaih.

(3) Hanya tidur yang lama membatalkan wuduk. Ini merupakan pendapat Imam Malik. 

(4) Tidur yang hanya membatalkan wuduk adalah tidur ketika dalam posisi baring atau bersandar kepada sesuatu. Tidur dalam posisi lain seperti duduk, rukuk, sujud atau berdiri maka wuduknya tidak batal baik dia tidur di luar solat atau ketika bersolat. Ini merupakan pandangan Hamad, Sufyan al-Thawri, Imam Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya, Imam Daud dan Imam al-Syafi’i.

(5) Tidur ketika berada dalam solat sama sekali tidak membatalkan wuduk. Tidur di luar solat membatalkan wuduk. Pendapat ini juga dikatakan pendapat Imam Abu Hanifah.


(6) Apabila seseorang itu tidur di dalam keadaan punggungnya rata kepada lantai maka ianya tidak membatalkan solat baik tidurnya itu ketika dalam solat mahupun di luar solat atau tidur yang lama mahupun seketika sahaja. Ini merupakan pandangan mazhab Imam al-Syafi’i. 

Posisi tidur terlentang (baring) tidak sama dengan orang yang tidur dalam keadaan duduk. Ini adalah kerana tidur dengan posisi terlentang akan terasa lebih nyenyak, sehingga akalnya akan terasa lebih tidak berfungsi jika dibandingkan dengan orang yang tidur dalam keadaan duduk.

Apabila dia telah tergeser/beralih/terjungkit/terangkat dari posisi duduk tegak semasa tidur, maka dia wajib megulangi wuduknya, kerana orang yang tidur dalam keadaan duduk itu menekan dirinya (bahagian punggungnya) pada lantai dan hampir tidak terkeluar sesuatu (kentut) kecuali dia akan menyedarinya. Yang mewajibkan seseorang berwuduk kembali kerana tidur ialah hilangnya fungsi akal, baik tidur ringan mahupun tidur nyenyak.

Wallahu A’lam.

No comments:

Post a Comment