Sunday, August 26, 2018

     PENGERTIAN   QIYAS     
     Sumber: OUM
Qiyas adalah satu topik yang luas, namun berikut adalah kerangka umum untuk menghayati asas pengertiannya.  

Muhammad Ibn Idris al-Syafi’i (wafat 204H) pengarang kitab ar-Risalah telah membahaskan metodologi dasar-dasar Qiyas secara meluas. 

Kemudian diperkembangkan oleh para ahli usul fiqh Syafi’iyyah seperti Imam Al-Gazali (wafat 505H) dalam kitabnya  al-Mustashfa min ilmi al-Ushul, Saifuddin al-Amidi (w1233H) dalam kitabnya  al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam dan ramai lagi.

Qiyas menurut etimologis ialah perbandingan, persamaan, persesuaian, memperkirakan atau menyamakan. 

Secara terminologi pula, Qiyas diistilah sedikit berbeza di antara para ulama usul mengikut pemilihan istinbat hukum masing-masing tetapi matlamatnya adalah  sama.

Seperti contoh, ulama usul Muhammad Ibn Salih al-Uthaymin (w1421H) mentakrif qiyas sebagai “menyamakan suatu hal yang bersifat furu’ dengan hal yang bersifat asal dalam penentuan hukum karena adanya persamaan ‘illat yang menyebabkan berkumpulnya keduanya”.

Begitu juga Shaykh Wahbah Mustafa al-Zuhayli (w1436H) kemudianya mendefiniskan qiyas sebagai “menghubungkan suatu perkara yang bersifat syar’i yang belum ada nash hukumnya, dengan suatu perkara yang telah ada hukumnya karena adanya persamaan ‘illat hukum”.

Merumus dari pengertian ulama-ulama usul diatas, qiyas ialah mempersamakan hukum di antara masalah yang baru  yang tidak ada nash tentang hukumnya dengan masalah yang lama yang telah sedia ada hukumnya dengan syarat ada persamaan ‘illat (Hazizan Mat Desa, 2015).

Konsep qiyas telah wujud sekian lama, sejak di era Rasulullah saw lagi. Cuma ianya tidak dibicara secara khusus. Pada zaman Imam Syafi’i (w204H) barulah konsep qiyas dibukukan dengan tersusun.

Diantara ayat-ayat al-Quran yang dijadikan dalil dasar hukum qiyas ialah seperti firma Allah saw:

........فان تنزعتم فى شئ فردوه الى الله والرسول...  

“.....maka jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya).........”.
                                                         (Surah an-Nisaa’ 4:59)


Dari dalil Sunnah pula, Imam Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan tentang Muadz bin Jabal (w18H) yang dilantik oleh Rasulullah SAW (w11H) menjadi gobernur ke kota Yaman. Baginda telah bertanya kepada Muadz cara mana dianya akan lakukan sekiranya didatangi perkara yang tidak ada nash dalam Kitabullah dan Sunnah. Muadz menyatakan beliau akan berijtihad. Baginda telah merestui kenyataan Muadz itu.  
 Para ulama usul telah mengariskan rukun qiyas ada empat iaitu :-
(i)                 Al-Maqais Alaysh;
(ii)               Al-Maqis;
(iii)             Hukum al-Ashal; dan
(iv)             Illat.

Para ulama usul juga telah menetapkan syarat-syarat beramal dengan qiyas, antara lain seperti berikut:-

(i)    Al-Maqais Alaysh atau Ashal ialah suatu perkara yang telah ada hukumnya berdasarkan nash dan menjadi tempat rujukan al-qiyas sebagai penyamaan akan sesuatu. Namun sesuatu perkara yang hukumnya hasil qiyas, ianya tidak boleh menjadi Ashal. Hukum ke atas Ashal ini kukuh kekal dan wujud dari dulu hingga selama-lamanya.

(ii)  Al-Maqis atau Fara’ adalah sesuatu yang baru dan belum ada hukum. Fara’ hendaklah bersifat amali dan lebih kemudian wujudnya daripada Ashal.

(iii) Hukum al-Ashal adalah hukum syar’iy yang bersifat amaliyah dengan nash dari al-Quran atau Sunnah. 

Begitu juga tidak boleh diqiyaskan kepada hukum hakam asal yang khusus. Seperti contoh, Rasulullah saw boleh beristeri lebih daripada empat orang. Hukum ini hanya untuk Rasulullah saw seorang sahaja.

Adapun jika hukum asal berlaku dengan ijma’, maka ada ulama berpendapat tidak sah akan qiyas yang hendak diwujudkan itu. Sebabnya hukum dengan Ijma’ tidak memerlukan kehadiran ‘illat sebagai sandaran, maka tanpa mengetahui illat hukum menyebabakan qiyas tidak wujud.

Namun Iman As-Syaukany (w1250H) dalam kitabnya Al-Qaul al-Mufid fi Adillah al-Ijtihad wa al-Taqlid berbeza pendapat dimana hukum yang ditetapkan dengan Ijma’ masih boleh diterima sebagai rukun Qiyas.

(iv) Illat adalah suatu sifat yang ada pada Ashal, dan sifat ini dicari pada Fara’. Seandainya sifat ini ada pada Fara’, maka persaman sifat ini menjadi dasar untuk menetapkan hukum Fara’ sama dengan hukum Ashal.

Illat yang boleh diterima pakai oleh qiyas adalah ‘illat yang boleh difahami akal manusia. Seperti contoh, arak diharamkan kerana kemabukannya. Penangan mabuk itu boleh dilihat di atas kelakuan peminum tersebut.

(v)  Qiyas dirumuskan berdasarkan ‘illat yang dihubungkaitkan antara al-Ashal dan al-Fara. Tidak boleh berlaku qiyas pada hukum hakam yang bersifat ibadah seperti bilangan solat sehari semalam dan lain-lain. Hukum dalam ibadah, ‘illatnya hanya diketahui oleh Allah saw sahaja.

Namun bukan semua ulama bersedia menerima qiyas. Mereka berselisih faham pada dalil nash dan ‘illat hukum. Yang termahsur menolak qiyas sebagai sumber hukum termasuklah Imam Ibn Hazm al-Andalusi (w456H) yang terkenal dengan  kitab Al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam. Beliau menyatakan bahawa al-Quran dan al-Sunnah sudah lengkap dan sempurna. Ibn Hazm adalah pengikut mazhab zahiriyah.

Walau bagaimanapun, kesemua mazhab utama Ahlussunnah wa Jamaah sepakati menerima qiyas sebagai sumber hukum Islam yang keempat selepas al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak.

No comments:

Post a Comment