KENAPA ADA MAZHAB-MAZHAB DALAM ISLAM
TEGUH: Sekarang ini semakin ramai rakan-rakan mempersoalkan beberapa amalan yang kita pernah lakukan. Di antaranya ialah membaca doa qunut; sembahyang sunat qabliah (sebelum) Maghrib; sembahyang sunat qabliah Jumaat; talqin mayat setelah dikebumikan; bacaan al-Qur’an dan tahlil dihadiahkan pahalanya kepada si mati; berwirid secara jama’ah selepas sembahyang fardhu; bilangan rakaat sunat tarawih 20 atau 8; membaca surah Yasin pada malam Jumaat; dan perarakan Maulid al-Rasul s.a.w.
MULIA: Sebenarnya kebanyakkan perbuatan-perbuatan di atas boleh di buat dan juga tidak boleh di buat mengikut pandangan mazhab masing-masing yang berbeza-beza. Kenapa berbeza? Perbezaan mazhab adalah di sebabkan oleh pencapaian penafsiran ilmu mereka khususnya tentang al-Quran dan al-Sunnah serta tahap memahami bahasa Arab dan latarbelakang masing-masing yang berbeza.
FAEZ: Biarpun berlaku perbezaan tetapi mereka tetap dalam satu akidah Islam. Seperti contoh, tiada mazab bertelagah tentang bilangan rakaat solat fardu subuh iaitu dua rakaat. Mereka hanya berbeza pendapat tentang doa qunut. Doa ini sunat sahaja, jika di tinggalkan tidak membatalkan solat. Cuma adalah lebih berilmu jika kita membuat sujud sahwi di akhir sembahyang, atau jika tidak juga mahu buat sujud ini pun tidak mengapa. Tidak perlu bising-bising.
MULIA: Secara ringkas dapatlah disimpulkan bahawa mazab-mazab membahagikan hukum yang disepakati ulama’ dan ada yang khilaf. Maka sumber yang disepakati ialah al-Qur’an, al-Sunnah, al-Ijma’ dan al-Qiyas. Sementara yang khilaf pula ialah al-Istihsan, al-Masalih al-Mursalah, al-’Urf, mazhab Sahabi, al-Istishab dan Syar’u Man Qablana.
AKHTAR: Islam adalah agama ILMU, bukan kepercayaan ikut-ikutan membabi buta. Fasal itu apabila kita nampak seseorang itu membuat amalan agak berbeza, kita jangan terus cuba membetulkannya.....tanya dulu. Mereka mungkin lebih berilmu daripada kita.
TEGUH: Ilmu Islam sungguh luas. Di antara lain merangkumi ilmu ibadat seperti solat, puasa, zakat dan hukum-hukum yang mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya. Ilmu sistem mu’amalat (ekonomi dan perniagaan), ilmu sistem kekeluargaan atau munakahat, sistem kehakiman atau pengadilan, undang-undang khas antarabangsa, sistem pemerintahan, sistem kewangan, undang-undang jenayah Islam dan lain-lain lagi
AKHTAR: Ramai tokoh ulama’ beratus-ratus tahun terdahulu telah memainkan peranan penting dalam mengembangkan, menyubur dan memajukan agama Islam dengan mengasaskan madrasah atau sekolah-sekolah agama yang berjaya melahirkan ulama’-ulama’ besar dan pengikut-pengikut yang ramai. Madrasah dan sekolah inilah yang melahirkan ramai mazhab-mazhab Islam.
TEGUH: Mazhab-mazhab ini walaupun banyak bukanlah bermakna ianya mengecilkan Islam dalam aliran tertentu dan bukan juga suatu proses mewujudkan syari’at baru. Ia merupakan metod untuk memahami syari’at, cara-cara menafsir nas-nas dan mengambil hukum dari sumber-sumbernya. Mazhab-mazhab yang berkembang pada waktu itu ada yang masih berdiri teguh dan mempunyai pengikut yang ramai hingga kini.
MULIA: Dari kalangan imam Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah yang mempunyai pengikut setia yang ramai mengembang, menyebar, mengajar seterusnya dipelajari ialah empat mazhab yang terkenal seperti berikut: (1) Imam Abu Hanifah (80-150H); (2) Imam Malik bin Anas (93-179H), (3) Imam al-Syafi’i (150-204H), dan (4) Imam Ahmad bin Hanbal (164-241H).
FAEZ: Setiap kita mesti membersihkan diri kita dari sebarang sentiment ta’asub mazhab secara buta tuli kerana mazhab bukanlah sebagai faktor memecahbelahkan Islam dan bukan sebagai agama cabangan Islam. Kesemuanya bertujuan untuk mengetahui hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t.
AKHTAR: Kita tidak harus merasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan mazhab kerana perbezaan dalam pemahaman adalah suatu perkara lumrah bagi akal manusia. Bahkan kita boleh berbangga dengan berbagai penafsiran perbezaan ilmu yang ditinggalkan kepada kita sebagai suatu perbendaharaan yang amat berharga. Ia juga merupakan sebagai bukti betapa berkembang subur dan hidupnya agama Islam, betapa luasnya pemikiran para ilmuan kita yang agong dalam melaksanakan kewajipan mereka memberi khidmat kepada syariat Islam yang mulia.
TEGUH: Kita tidak harus memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam masalah mazhab. Kita tidak harus menentang amalan-amalan mazhab yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang kita anuti. Sebaliknya kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum-hukum yang disepakati para ulama’.
MULIA: Jangan menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapatnya sebagai sesat, pembuat bida’ah, khurafat dan sebagainya kerana masing-masing ada hujah dan alasan yang perlu kita hormati.
FAEZ: Perbahasan masalah mazhab ini tidak wajar diperbesarkan dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Ini kerana khilaf dalam masalah furu’ (minor) suatu yang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting bagi umat Islam ialah berganding bahu menegakkan syariat Islam dalam diri, rumahtangga, masyarakat, negara dan kesatuan ummah. Seterusnya memerangi kemungkaran (terutama riba) dan melaksanakan hukum Islam yang adil kepada semua bangsa dan semua agama. Itulah Islam yang gembilang.
No comments:
Post a Comment