Sumber: Dr Muhammad Fathi Yusof. (2014). KESESUAIAN PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH DI MALAYSIA. UTM.
Undang-undang konvensional yang digubal menggunakan fikiran akal manusia pasti banyak ketempangannya. Akal manusia terpengaruh dengan pelbagai nafsu.
Berbanding peraturan dan undang-undang Islam yang bertunjangkan wahyu Allah SWT selaku pencipta yang mengetahui segala kelemahan manusia.
Kadangkala manusia mencemuh undang-undang Islam. Walhal manusia sendiri tidak mampu menggali falsafah sebenar mengapa perundangan itu ditetapkan.
Konsep undang-undang Islam boleh terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah. Jika tidak terdapat maka boleh merujuk kepada ijmak', qiyas dan kaedah-kaedah lain yang telah ditetapkan.
Kesalahan jenayah biasanya berlaku kerana pencabulan keatas lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Secara ringkasnya, kesalahan jenayah boleh dihukum sama ada secara qisas, hudud atau takzir.
- Qisas adalah hukuman berkaitan dengan hak individu mangsa atau walinya. Contoh jika seseorang bersalah kerana membunuh, wali orang yang mati boleh memilih sama ada hendak meneruskan hukuman qisas, atau menggantikannya dengan diat atau memaafkannya sahaja. Hukuman qisas biasanya balasan yang sama dengan jenayah berkenaan: nyawa dengan nyawa, mata dengan mata dan seterusnya. Sementara hukuman diat ialah ganti rugi dengan kadar berbeza.
- Hudud adalah hukuman berkaitan dengan hak Allah SWT yang jelas ditetapkan dalam al-Quran dan Sunnah. Hudud melibatkan kesalahan seperti zina, qazaf (tuduhan fitnah), mencuri, hirabah, minum arak dan murtad. Hukuman hudud ini kekal dan tidak boleh diubah sehingga hari kiamat, serta tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa. Di antara hukumannya ialah rejam sampai mati, sebatan, hukuman gantung hingga mati, potong tangan, potong kaki, salib dan buang negeri.
- Takzir adalah hukuman selain dari qisas dan hudud. Hukuman takzir amat luas dan boleh dikenakan mengikut maslahat, keperluan dan kebijaksanaan pemerintah, badan perundangan serta hakim.
Di antara kelebihan undang-undang jenayah Islam ke atas undang-undang konvensional ialah ada kaitan dosa dan pahala. Mana kala keberkesanan undang-undang konvensional bergantung kepada kekerasan undang-undang, penguatkuasaan dan pengawalan pemerintah.
Manakala undang-undang Islam tidak terpisah dengan akidah dan pembalasan di dunia dan akhirat. Skopnya lebih luas lagi.
No comments:
Post a Comment