Sunday, August 24, 2014

HADIS SAHIH ........... siri 1/3


Hadis ada beberapa peringkat status dari segi kekuatannya bagi penentuan adakah ianya diterima atau ditolak.

Namun secara ringkasnya boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan besar iaitu (i) hadis sahih, (ii) hadis da'if, dan (iii) hadis mawdhu'.

Kita bincang perihal hadis sahih terlebih dahulu.

Untuk menentukan sesuatu hadis itu sahih perlu ada 3 syarat asas, iaitu:-

(1) Hadis Perlu Bersanad 
Sanad adalah rangkaian rawi yang meriwayatan hadis sampai kepada matan hadis (isi kandungan hadis).

Jika lebih daripada seorang perawi maka ianya hendaklah bersambung atau berhubung. Setiap rawi mengambil hadis yang diriwayatkannya secara langsung daripada mereka yang sebelumnya. Rangakian sanad ini berterusan dari awal sanad hinggalah kesudahannya.

(2) Kesemua Rawi Adalah Thiqah. 
Thiqah bermaksud rawi yang "adil" dan "dhabit".

Adil bermakna Islam, baligh, berakal, bersih daripada kefasikan dan tidak tercemar maruahnya.

Dhabit pula bermaksud mempunyai daya ingatan yang mantap dalam meriwayatkan hadis.


(3) Tiada Kecacatan Dan Kejanggalan
Hadis tersebut tidak terdapat sebarang kecacatan  seperti keraguan dalam periwayatan, bercampur aduk, kemasukan ungkapan lain dalam matan hadis dll.

Hadis sahih adalah wajib beramal dengannya dalam perkara akidah, ibadat, muamalat dan hukum hakam.

No comments:

Post a Comment