Qiyas
adalah satu topik yang luas, namun berikut adalah kerangka umum untuk
menghayati asas pengertiannya.
Muhammad Ibn Idris al-Syafi’i
(wafat 204H) pengarang kitab ar-Risalah telah membahaskan metodologi
dasar-dasar Qiyas secara meluas. Kemudian diperkembangkan oleh para ahli usul
fiqh Syafi’iyyah seperti Imam Al-Gazali (wafat 505H) dalam kitabnya al-Mustashfa min ilmi al-Ushul,
Saifuddin al-Amidi (w1233H) dalam kitabnya al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam dan ramai
lagi.
Qiyas menurut etimologis ialah perbandingan, persamaan,
persesuaian, memperkirakan atau menyamakan. Secara terminologi pula, Qiyas
diistilah sedikit berbeza di antara para ulama usul mengikut pemilihan istinbat
hukum masing-masing tetapi matlamatnya adalah sama.
Seperti contoh, ulama usul Muhammad Ibn Salih
al-Uthaymin (w1421H) mentakrif qiyas sebagai “menyamakan suatu hal yang
bersifat furu’ dengan hal yang bersifat asal dalam penentuan hukum karena
adanya persamaan ‘illat yang menyebabkan berkumpulnya keduanya”.
Begitu juga Shaykh Wahbah Mustafa al-Zuhayli (w1436H)
kemudianya mendefiniskan qiyas sebagai “menghubungkan suatu perkara yang
bersifat syar’i yang belum ada nash hukumnya, dengan suatu perkara yang telah
ada hukumnya karena adanya persamaan ‘illat hukum”.
Merumus dari pengertian ulama-ulama usul diatas, qiyas
ialah mempersamakan hukum di antara masalah yang baru yang tidak ada nash tentang hukumnya dengan
masalah yang lama yang telah sedia ada hukumnya dengan syarat ada persamaan
‘illat (Hazizan Mat Desa, 2015).
Konsep qiyas telah wujud sekian lama, sejak di era Rasulullah saw lagi.
Cuma ianya tidak dibicara secara khusus. Pada zaman Imam Syafi’i (w204H) barulah
konsep qiyas dibukukan dengan tersusun.
Diantara
ayat-ayat al-Quran yang dijadikan dalil dasar hukum qiyas ialah seperti firma Allah
saw:
........فان
تنزعتم فى شئ فردوه الى الله والرسول...
“.....maka jika kamu berlainan pendapat tentang
sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul
(sunnahnya).........”.
(Surah an-Nisaa’ 4:59)
Dari dalil
Sunnah pula, Imam Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan tentang Muadz bin Jabal (w18H)
yang dilantik oleh Rasulullah SAW (w11H) menjadi gobernur ke kota Yaman. Baginda
telah bertanya kepada Muadz cara mana dianya akan lakukan sekiranya didatangi
perkara yang tidak ada nash dalam Kitabullah dan Sunnah. Muadz menyatakan
beliau akan berijtihad. Baginda telah merestui kenyataan Muadz itu.
Para ulama usul telah mengariskan
rukun qiyas ada empat iaitu :-
(i)
Al-Maqais Alaysh;
(ii)
Al-Maqis;
(iii)
Hukum al-Ashal; dan
(iv)
Illat.
Para ulama usul juga telah menetapkan syarat-syarat beramal dengan qiyas,
antara lain seperti berikut:-
(i) Al-Maqais Alaysh atau Ashal ialah suatu perkara yang telah ada hukumnya berdasarkan nash
dan menjadi tempat rujukan al-qiyas sebagai penyamaan akan sesuatu. Namun sesuatu
perkara yang hukumnya hasil qiyas, ianya tidak boleh menjadi Ashal. Hukum ke
atas Ashal ini kukuh kekal dan wujud dari dulu hingga selama-lamanya.
(ii) Al-Maqis atau Fara’ adalah sesuatu yang baru dan belum ada hukum. Fara’ hendaklah
bersifat amali dan lebih kemudian wujudnya daripada Ashal.
(iii) Hukum al-Ashal adalah hukum syar’iy yang bersifat amaliyah dengan nash dari al-Quran
atau Sunnah.
Begitu juga tidak boleh diqiyaskan kepada hukum hakam ashal yang khusus.
Seperti contoh, Rasulullah saw boleh beristeri lebih daripada empat orang.
Hukum ini hanya untuk Rasulullah saw seorang sahaja.
Adapun jika hukum asal berlaku dengan ijma’, maka ada ulama berpendapat
tidak sah akan qiyas yang hendak diwujudkan itu. Sebabnya hukum dengan Ijma’
tidak memerlukan kehadiran ‘illat sebagai sandaran, maka tanpa mengetahui illat
hukum menyebabakan qiyas tidak wujud.
Namun Iman As-Syaukany (w1250H) dalam kitabnya Al-Qaul al-Mufid fi
Adillah al-Ijtihad wa al-Taqlid berbeza pendapat dimana hukum yang
ditetapkan dengan Ijma’ masih boleh diterima sebagai rukun Qiyas.
(iv) Illat adalah suatu sifat yang ada pada Ashal, dan sifat ini dicari pada Fara’.
Seandainya sifat ini ada pada Fara’, maka persaman sifat ini menjadi dasar
untuk menetapkan hukum Fara’ sama dengan hukum Ashal.
Illat yang boleh diterima pakai oleh qiyas adalah ‘illat yang boleh
difahami akal manusia. Seperti contoh, arak diharamkan kerana kemabukannya.
Penangan mabuk itu boleh dilihat di atas kelakuan peminum tersebut.
(v) Qiyas dirumuskan berdasarkan ‘illat yang dihubungkaitkan antara al-Ashal dan
al-Fara. Tidak boleh berlaku qiyas pada hukum hakam yang bersifat ibadah
seperti bilangan solat sehari semalam dan lain-lain. Hukum dalam ibadah, ‘illatnya
hanya diketahui oleh Allah saw sahaja.
Namun bukan semua ulama bersedia menerima qiyas. Mereka berselisih faham
pada dalil nash dan ‘illat hukum. Yang termahsur menolak qiyas sebagai sumber
hukum termasuklah Imam Ibn Hazm al-Andalusi (w456H) yang terkenal dengan kitab Al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam. Beliau
menyatakan bahawa al-Quran dan al-Sunnah sudah lengkap dan sempurna. Ibn Hazm adalah
pengikut mazhab zahiriyah.
Walau
bagaimanapun, kesemua mazhab utama Ahlussunnah wa Jamaah sepakati menerima
qiyas sebagai sumber hukum Islam yang keempat selepas al-Quran, as-Sunnah dan
Ijmak.
No comments:
Post a Comment