Wednesday, November 29, 2017

HIBAH

Takrif  

Hibah di takrif sebagai satu pemberian secara sukarela dengan memindahkan ain harta dan bukan hutang atau manfaat, dari pemiliknya kepada penerima hibah pada masa hidupnya tanpa apa-apa iwad.

Ciri-Ciri Hibah

Ciri-ciri hibah dirumuskan seperti berikut:-
(a)    Suatu akad pemindahan harta dari milik pemberi kepada       penerima,
(b)    Dibuat secara sukarela oleh pemberi,
(c)    Tiada sebarang iwad dari penerima,
(d)  Yang dihibahkan ialah ain harta, bukannya hutang atau           manfaat, dan
(e)    Berkuatkuasa semasa hidup pemberi hibah.

Hukum Hibah

Manakala hukum hibah adalah amalan sunat dan digalakkan sepertimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“...........dan memberikan harta yang dicintanya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir dan orang-orang yang meminta-minta, dan hamba sahaya......Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa”.                                                                                                     
                                                    (Surah al-Baqarah 2: ayat 177)

                            
Rukun Hibah

Menurut jumur fuqaha’ terdapat empat rukun hibah seperti berikut:-

(   a)    Pemberi hibah iaitu seseorang yang sempurna akalnya, baligh, merdeka, pemilik penuh harta hibah, dan tidak dipaksa. Memandangkan harta adalah pemilikan penuh pemberi, maka dia bebas kepada kuantiti yang dihibahkan. Dia berpeluang memperuntukan harta kepada anak angkat atau ibu bapanya yang bukan Islam. 

(  b)   Penerima hibah boleh dari kalangan waris, bukan waris dan bukan Islam. Syaratnya penerima berkuasa memegang dan mengawal pemilikan harta tersebut. Dianya boleh seorang mukallaf atau bukan mukallaf. Jika bukan mukallaf maka harta tersebut diwakilkan kepada walinya.

(  c) Harta yang dihibahkan perlu wujud dan boleh dipindah pemilikannya yang terdiri daripada harta alih dan harta tak alih. Ianya perlu bernilai kerana harta tidak bernilai tidak boleh dibuat akad. Begitu juga tidak sah jika harta dalam keadaan mal mubah, ia perlu berstatus mutaqawwam iaitu harta yang sudah ada pemilik.

(  d) Sighah merupakan ijab dan qabul bagi membuktikan terlaksananya pemberian dan penerimaan oleh pemberi kepada penerima hibah. Syarat sighah perlu ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul.


Lafaz Hibah

Lafaz sighah terbahagi kepada lafaz sarih (jelas) dan kinayah (kiasan). 

Lafaz paling ringkas bagi ijab ialah “Aku menyerahkan hakmilik harta ini kepadamu”, dan balasan sepontan qabul penerima pula “Aku terima”.  

Awas, jika mengguna pakai ayat “Aku hendak menyerahkan.......” boleh diterjemahkan sebagai berhasrat dan menyebabkan niat menghibah menjadi kabur. 

Ayat hibah perlu bermaksud “sekarang ini” dan bukan “akan datang”.

Terbaik hibah dibuat secara bertulis dengan disaksikan oleh dua orang.
                                                                                                                      
Syarat Al-Qabd

Mazhab Syafii dan Hanafi menambah satu syarat bagi pengesahan hibah iaitu al-qabd atau penerimaan barang. 

Selagi ketidaklaksananya al-qabd, maka ijab dan qabul tersebut tidak mengikat dan pemberi hibah masih boleh menarik balik pemberiannya itu. 

Justeru itu, jika berlaku kematian pada salah satu pihak sebelum al-qabd, maka hibah itu boleh terbatal. 

Namun al-qabd tidak menjadi syarat jika (a) pemberi dan penerima hibah tinggal serumah, (b) hibah suami kepada isteri, (c) hibah ayah kepada anak, dan (d) harta hibah dalam pegangan penerima hibah.

                       
 Penarikan Balik Hibah

Ada kalanya pemberi hibah menghadapi permasalahan kewangan setelah menghibah hartanya. 

Dianya ingin menukar transaksi dari pemberian hibah kepada jual beli. Adakah dibenarkan? 

Pertukaran akad hibah yang mengamalkan tabarru’ tidak boleh bertukar menjadi akad tijarah, kecuali mendapat persetujuan pihak penerima hibah. 

Namun akad tijarah boleh menjadi akad hibah jika penjual harta berkenaan dengan sukarela menghibahkannya.

Apa akan terjadi jika pemberi hibah merasa menyesal memberi hartanya kepada seseorang. 

Dia ingin menarik balik pemberian tersebut. Boleh ke?

Pembatalan hibah tidak boleh sekiranya al-qabd sudah selesai mengikut pendapat mazhab Syafii dan Hanbali. Manakala mazhab Hanafi pula boleh ditarik balik biarpun setelah al-qabd. 

Namun mereka sependapat hibah antara bapa (termasuk ibu dan atuk) kepada anak/cucu boleh ditarik balik pada bila-bila masa selama mana harta itu tidak ada kaitan dengan orang lain.


 ISU-ISU HUKUM HIBAH

Hibah tidak sunyi daripada perbezaan pendapat di kalangan para fuqaha’, dan diantara isu-isu hukum hibah  adalah seperti berikut:-

(a)         Isu Kewujudan Al-Qabd 

Pengwujudan al-Qabd sangat penting dalam akad hibah. Al-Qabd dari segi istilah bermaksud berlakunya penyerah terimaan. 

Imam al-Syafii menyatakan disamping menepati kesemua empat rukun hibah, al-Qabd merupakan syarat luzum bagi mengikat akad hibah.

Qabd sah sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut: 

(a) mendapat keizinan dan kebenaran pemberi hibah, 

(b) harta yang dihibahkan tidak bercampur dengan harta lain bukan hibah,dan 

(c) penerima hibah berkeahlian untuk menerima milik harta tersebut iaitu baligh dan berakal.

Permasalahan al-Qabd kerap berbangkit kerana di Malaysia belum ada lagi akta khusus mengenai hibah. 

Enakmen negeri-negeri memperuntukan perkataan “alang semasa hidup” dan “dibuat tanpa balasan” yang pengamal undang-undang sinonimkannya bermaksud hibah.

Ketiadaan undang-undang bertulis khusus mengenai hibah, maka para peramal termasuk mahkamah terpaksa merujuk kepada berbagai kitab muktabar sebagai panduan dalam membuat keputusan.

Keadaan akan menjadi rumit lagi apabila amalan berkaitan hibah ayah kepada anak yang tidak melaksanakan pertukaran hak milik serta merta. 

Kadang kala al-Qabd semacam tidak wujud kerana pemindahan milik akan dibuat selepas kematian penghibah. 

Kaedah fiqh menekankan bahawa setiap transaksi bukan dilihat pada lafaz dan terminologi semata-mata tetapi melihat lebih kepada hakikat dan perjalanannya.

Apabila kewujudan al-Qabd menghadapi permasalahan keyakinan hingga ke tahap zan al-ghalib, maka pengamal akan merujuk ke perkara qarinah pula. 

Tetapi jika keyakinan merosot hingga ke tahap syak atau waham, biasanya diputuskan bahawa tiada hasrat oleh pemberi hibah untuk menyerahkan harta penghibahan.

Oleh yang demikian, kehadiran al-Qabd secara telus sangat penting dalam akad hibah. Tanpa al-Qabd, pemberian hibah boleh di batalkan.

  
 Isu Penarikan Balik Hibah

Amalan penarikan balik hibah sebelum qabd ada beberapa pandangan. Di antaranya ialah : 

(a) mazhab Shafi’i dan Hanafi berpendapat boleh menarik balik selagi harta berkenaan masih berada dalam pemilikan pemberinya,

(b) mazhab Maliki menyatakan tidak boleh setelah lafaz qabul; dan 

(c) mazhab Hanbali berpendirian boleh menarik balik bagi barang berbentuk boleh diukur atau ditimbang.
                                                                       
Perbuatan penarikan balik hibah selepas qabd selain hibah bapa/anak mempunyai pandangan berbeza seperti berikut: 

(a) mazhab Shafi’i dan Hanbali berpendapat tidak harus ditarik balik; dan 

(b) mazhab Hanafi berpendirian ianya makruh jika tiada perubahan kepada harta tersebut dan menghalang penarikan balik jika berlaku seperti penambahan yang tidak boleh dipisahkan.

Tindakan penarikan balik hibah selepas qabd bagi hibah bapa kepada anak adalah dibolehkan termasuk bertujuan untuk menyamakan pemberian antara anak-anak. 

Namun mazhab Hanbali lebih menekankan kepada pembahagian yang adil. Maksud adil di sini tidak semestinya sama rata tetapi mengikut keperluan anak-anak berkenaan. 

Walaubagaimana pun pemberian hibah oleh seorang “ayah” kepada anak angkat, anak tiri atau anak menantu tidak boleh ditarikbalik.

                       
Isu Hibah Bersyarat

Apabila membincangkan hibah bersyarat kerap dirujuk kepada al-‘Umra dan al-Ruqba. Kedua-dua hibah bersyarat ini berkait rapat dengan tempoh hidup pemberi dan penerima hibah.

Dalam al-‘Umra, sekiranya penerima hibah mati dahulu, maka harta berkenaan dikembalikan kepada pemberi hibah. Seterusnya jika pemberi hibah mati lebih awal, harta tersebut  dipulangkan kepada waris pemberi hibah. 

Dengan lain perkataan, dalam al-‘Umra pada akhirnya harta tersebut tetap kekal milik pemberi hibah.

Begitu juga Al-Ruqba adalah hampir sama syarat dengan al-‘Umra. Cuma berlainan jika pemberi hibah mati dahulu maka harta tersebut diserah kepada penerima hibah.

Para fuqaha’ berpendapat kedua-dua jenis hibah ini adalah bersifat sementara kerana berta’liqkan dengan hayat pemberi dan penerima hibah. Dengan itu, berbagai perbezaan pendapat timbul.
  
Majoriti berpendapat hibah bersyarat sebegini adalah sah tetapi syaratnya terbatal.  Pengwujudan syarat itu berlawanan dengan kehendak akad hibah itu sendiri iaitu yang boleh dihibahkan ialah ain harta bukan manfaatnya. 

Ada juga yang mengambil sikap keras dengan menolak hibah yang bersifat sementara kerana ianya adalah ‘ariyah (pemimjaman).

Tetapi jika syarat hibah boleh dipenuhi dan tiada gharar fahish maka ianya sah. Seperti contoh, bapa menghibah kepada anaknya sebuah kereta dengan syarat anaknya membayar cukai jalan motokar tersebut.

 Isu Hibah Ketika Maradul Maut

Kepastian lafaz hibah semasa sedang nazak sangat penting kerana ianya mungkin bukan hibah tetapi adalah wasiat. Jika ianya wasiat maka pemberian itu terikat tidak boleh lebih 1/3 bahagian. 

Jika harta pusaka tersilap di anggap hibah boleh membawa bencana besar, lebih-lebih lagi jika harta tersebut milik anak yatim.

Dalam penentuan hibah ketika maradul maut, ada tiga syarat tambahan perlu di teliliti di samping empat rukun hibah sediada iaitu:-

(a)   Pertama, adakah penyakit itu menyebabkan kematian pemberi hibah berkenaan? Bukti terbaik bagi kepastian mati kerana sakit maradul maut ialah kesaksian dua orang doktor lelaki Muslim yang adil. Keterangan ini lebih diyakini lagi jika di sokong oleh laporan perubatan.  

Ada juga ulama menggunapakai kaedah tingkahlaku pesakait semasa sakit. Sekiranya penyakit tersebut tidak sedar diri sehingga melalaikannya daripada kepentingan sekelilingnya yang bersifat keduniaan, maka kematiannya boleh dianggap penyakit maradul maut.

Sebahagian  fugaha’ menyifatkan sakit terlantar di atas katil melebihi setahun sebagai sakit berpanjangan. Zahir dianya sakit tetapi bukan penyakit maradul maut. Hibahnya dikira sebagai hibah seorang yang sihat.

(b) Kedua, adakah qabd telah terlaksana? Menurut mazhab Syafii, ijab dan qabul sahaja belum cukup syarat untuk mengikat akad hibah. Ia perlu ada al-qabd.

Biasanya dalam kes hibah maradul maut ini pelaksanaan qabd secara nyata jarang ditemui kerana adat ketimuran menghormati si pesakit. 

Maka untuk membuktikan wujudanya qabd, perlu lihat kepada qarinah. Qarinah ini ada berbagai ragam mengikut adat setempat, dan pihak mahkamah akan memutuskan qarinah yang mana satu mempunyai ciri-ciri tersirat ke arah hasrat terlaksananya qabd.

(c) Ketiga, mendapat perintah pengesahan dari mahkamah. Perintah dari Mahkamah Syariah adalah penting agar keputusan adakah ianya hibah atau bukan tidak dipertkai kemudian oleh waris.


No comments:

Post a Comment