Saturday, January 11, 2014

MENINGGALKAN SOLAT.....nota 2.2

Dalam bahasa Arab solat bererti doa, iaitu sepertimana maksud surah at-Taubah ayat 103. Para pentafsir mengambil pendekatan bahawa perkataan zakat dan solat kerap bersama dalam banyak surah-surah al-Quran, maka perkataan "doa" dalam surah ini di maksudkan solat.

Dari segi istilah syarak pula, solat bererti perbuatan dan perkataan yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam dengan syarat-syarat tertentu. Ini dinyatakan dalam surah al-Nisa' ayat 103 yang bermaksud "Sesungguhnya solat itu diwajibkan ke atas mukmin pada waktu yang tertentu".

Suruhan supaya kita solat juga terdapat pada sunnah Ibn Abbas r.a. meriwayatkan yang bermaksud ".....bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu dalam sehari semalam".

Hukum kita yang meninggalkan solat ada berbagai, iaitu (1) kita yang tidak melakukan solat kerana ingkar tidak percaya atau mempersendakan hukum bahawa solat itu wajib, fuqaha (ulamak ramai) sependapat mengatakan hukumnya kafir dan murtad, terkeluar daripada Islam. Orang ini hendaklah bertaubat.

Hukum ke (2) meninggalkan solat kerana terlupa atau tertidur........ini tidak berdosa namun wajib menggantikannya pada waktu yang lain. Imam Syafi'i, Malik dan Imam Hanafiah berpendapat mereka ini tidak kafir tetapi dia dihukum fasiq. 

Hukum ke (3) meninggalkan solat kerana malas, sibuk atau memandang ringan.....hukumnya berdosa.

Imam Syafi'i dan Imam Malik menambah bahawa mereka perlu bertaubat terlebih dahulu, jika enggan para hakim boleh menjatuhkan hukum hudud iaitu bunuh ke atas persalah ini. 

Imam Hanafiah berpendapat hakim tidak boleh melaksanakan hukum bunuh, tetapi boleh melaksanakan hukum takzir sehingga dia menunaikan solat semula.

Imam Hanbal berpendapat hukumnya kafir dan wajib dibunuh. Ini berpandukan hadis riwayat Jabir yang bermaksud "Perbezaan di antara muslim dan kafir ialah meninggalkan solat".

Syarat wajib solat ialah (1) Islam, (2) berakal...tidak wajib ke atas orang gila, kanak-kanak, orang pengsan, orang mabuk tanpa sengaja, (3) suci daripada darah haid dan nifas. (4) sampai seruan Islam....mereka yang tinggal di kawasan jauh yang tidak sampai seruan Islam tidak diwajibkan solat.... di eskimo agaknya, (5) baligh....apabila seseorang itu bermimpi hingga keluar air mani, atau genap umur 15 tahun, atau datang haid bagi kanak-kanak perempuan, dan (6) mampu menunaikan solat..... mengikut mazhab Syafi'i mereka yang semula jadi daripada kecil lagi cacat penglihatan dan pendengaran tidak wajib solat kerana tidak mampu untuk belajar cara solat.

NOTA: (i) Pengikut mazhab Hanafi merupakan 45% penganut Muslim seluruh dunia dan di dapati di India, Pakistan, Bangladesh dll., (ii) mazhab Syafi'i pula 28% yang terdapat di Malaysia, Indonesia, Brunei dll., (iii) mazhab Maliki hanya 20% yang terdapat di Africa, Magribi, Libya, Tunisia, Sudan, Ghana dll., dan (iv) mazhab Hanbali 5% penganut Muslim seluruh dunia yang kebanyakannya terdapat di Saudi Arabia.

No comments:

Post a Comment