SOLAT: RUKUK & SUJUD
Setelah selesai membaca al-Fatihah dan surah, kemudian kita rukuk.
Perbuatan rukuk ialah membongkokkan badan, tangan memegang lutut supaya antara punggung dan kepala rata seakan-akan 90 darjah. Kita hendaklah jangan buat rukuk tergopoh gapah. Mesti ada tamakninah atau bertenang sebentar ketika rukuk.
Jari-jari hendaklah diletakkan di atas lutut dan direnggangkan jari-jari berkenaan. Meletak tangan di atas peha atau meletak tangan di betis adalah dianggap kurang sempurna rukuk kita.
Nabi Muhammad saw dinyatakan melarang membaca apa jua ayat al-Quran semasa rukuk. Kita di minta bertasbih memperbesarkan Allah.
Ingatlah, dalam solat hanya ada tiga bentuk bacaan sahaja iaitu (1) ayat-ayat suci al-Quran; (2) zikir atau tasbih; dan (3) doa dalam bahasa Arab.
Apabila selesai rukuk, kita bangkit berdiri tegak atau dinamakan iktidal. Iktidal ini mesti ada tamakninah iaitu berhenti sebentar sambil berdiri.
Ramai di antara kita tidak menghiraukan tamakninah ini kerana hendak cepat-cepat selesaikan solat. Jangan ambil enteng perkara ini kerana ia boleh membuat solat kita dapat zero pahala.
Selepas rukuk kita hendaklah sujud pula. Persoalannya semasa hendak melakukan sujud adakah (1) turun tangan dahulu; atau (2) letak lutut dahulu.
Mazhab Syafi’i mengalakkan meletak kedua-dua lutut dahulu sebelum tangannya, kemudian dahinya. Semasa sujud kesemua tujuh anggota perlu terkena tempat sujud bagi memperolehi sujud sempurna iaitu (1) dahi; (2) dua tapak tangan; (3) dua lutut; dan (4)hujung jari kedua-dua kaki.
Kita kerap tidak mengambil berat tentang “hujung jari kaki” ini semasa sujud. Kesemua hujung jari kaki hendaklah dibengkokkan atau dilipatkan agar pemukaannya terkena pada tempat sujud.
Kegaggalan berbuat demikian berkemungkinan terbatalnya solat kita. Kesemua tujuh anggota perlu mencecah lantai semasa sujud. Iaitu dahi, dua tapak tangan, dua lutut dan dua permukaan kaki. Dapat permukaan jari-jari sudah memadai.
Hanya mazhab Maliki sahaja yang menyatakan tidak terbatal kerana mereka menganggap anggota sujud yang wajib hanyalah dahi.
Mestikah hidung mencecah tempat sujud? Mazhab Syafi’i berpendapat sekiranya hidung tidak mencecah tempat sujud hukumnya makruh. Adalah lebih elok semasa sujud, dahi dan hidung terkena tempat sujud bagi memperolehi lebih kesempurnaanya.
Apabila kita sujud hendaklah menekankan dahi kita ke bumi. Mazhab Syafi’i mewajibkan dahi perlu tiada halangan seperti rambut atau sebahagian pakaian kita atau songkok dll.
No comments:
Post a Comment