Thursday, January 1, 2015


SOLAT: TAKBIRATULIHRAM & FATIHAH

Takbiratulihram hendak dibuat secara bersuara (tidak perlu nada kuat) iaitu mesti didengar oleh telinga orang yang membuat takbir itu akan sebutan “Allahu Akbar”. Tanpa lafaz takbir ini, solat kita tidak sah. Wallahu a’lam.

Pada masa yang serentak kita di galakkan mengangkat tangan semasa takbiratulihram. Hukum mengangkat tangan ini adalah sunat. 


Ada beberapa cara mengangkat tangan ini, iaitu :- 

(1) mengangkat tangan ke paras bahu; 

(2) mengangkat tangan hingga ke paras telinga; dan 

(3) mengangkat tangan hingga ke paras telinga dengan ibu jari berdampingan dengan cuping (anak) telinga.


Semasa berdiri, kepala seelok-eloknya tunduk sedikit agar pandangan mata melihat ke tempat sujud. Ini adalah pandangan mazhab Syafi’i dan Hanafi. 

Tetapi mazab Maliki mengatakan elok memandang kearah hadapan. 

Tetapi Nabi Muhammad saw melarang memandang ke atas kerana menyifatkannya seperti seorang yang bongkak.

Ada orang yang memejamkan mata mereka semasa solat. Mazhab Syafi’i berpendapat ianya makruh. 

Tetapi setengah ulama mengharuskannya jika bertujuan memperolehi khusyuk dalam solat.

Ada tiga cara berdakap tangan yang biasa kita lihat semasa kita berdiri tegak, iaitu:-

(1) meluruskan tangan kebawah dengan merapatkannya ketepi badan (amalan mazhab Maliki); 

(2) berdakap tangan dan meletakkanya di atas dada; 

(3) meletakkan tangan dengan berdakap di antara dada dan pusat (amalan mazhab Syafi’i). Berdakap bermaksud meletakkan tangan kanan di atas pergelangan awal lengan kiri.

Membaca doa iftitah adalah sunat dan di baca secara perlahan. Ada ulama mengatakan ada tujuh bentuk doa iftitah yang di galakkan. Kita biasanya membaca doa iftitah “Allahuakbar.......Muslimin”.

Selepas membaca doa iftitah kita membaca surah al-Fatihah. Ini bacaan wajib kerana tidak sah solat bagi mereka yang tidak membaca al-Fatihah.

Mohon peringatan bahawa:
(1) Barangsiapa yang meninggalkan bacaan al-Fatihah secara sengaja maka batal solatnya; 

(2) Barangsiapa yang terlupa membacanya dan teringat sebelum sampai ke rakaat selepas itu, wajib untuknya mengulangi berdiri dan membaca al-Fatihah; atau 

(3) Sekiranya sudah memasuki rakaat lain, maka terhapus rakaat tadi dan perlulah ia menambah satu rakaat lain”.

Ada ulama berpendapat kita tidak perlu membaca al-Fatihah pada rakaat-rakaat yang imam membacanya seperti dua rakaat pertama dalam solat Subuh, Magrib dan Isyak. Walau bagaimanapun mazhab Syafi’i berpendapat makmum tetap diwajibkan membaca al-Fatihah walaupun di belakang imam.

Sekiranya bacaan al-Fatiha kita di ganggu oleh sesuatu seperti bersin dan kita pula berzikir ke atasnya dengan menyebut Alhamdulillah, maka kita perlu ulangi bacaan al-Fatiha dari mula. 

Bacaan al-Fatiha tidak boleh ada gangguan seperti zikir atau berhenti terlalu lama di antara ayat-ayatnya.

Selepas membaca surah al-Fatihah, kita di sunatkan membaca apa jua surah yang lain. Nabi Muhammad saw biasanya memanjangkan bacaan surah dalam solat Subuh kerana bacaan ketika itu dipersaksikan oleh ramai para malaikat.

Dalam solat hanya ada tiga bentuk bacaan yang dianggap sah iaitu:-

(1) ayat-ayat suci al-Quran; 
(2) zikir kepada Allah dalam bahasa Arab; dan 
(3) doa dalam Bahasa Arab. 

Jika hendak berdoa dalam solat iaitu sewaktu sujud, di bolehkan dalam apa jua bahasa tetapi hanya di dalam hati.

Adalah elok di baca mengikut tertib susunan al-Quran yang telah di susun oleh Allah. Walau bagaimanapun jika tidak mengikut susunan, ia tidaklah haram. 

Tidak di sunatkan membaca apa-apa surah pada rakaat ketiga dan keempat.

No comments:

Post a Comment