Thursday, December 24, 2015

comparative religions/perbandingan agama

KEPERCAYAAN YAHUDI


Kitab orang Yahudi iaitu Taurat telah banyak diubah-ubah oleh pendita mereka. 

Perihal ini di terangkan dalam surah An-Nisa:ayat 46 yang bermaksud:

 “Sebahagian orang-orang Yahudi mengubah kitab sucinya dari keadaannya yang asli”. 

Penganut Yahudi bersembahyang 3 kali dalam sehari, dan pada hari Sabbaths mereka bersembahyang lebih rancak lagi. 

Apabila tiba hari Sabtu, bermula dari petang hari Jumaat lagi, kelibat bayang mereka tidak kelihatan di pasaraya atau jalanraya. Sabtu adalah hari mulia Yahudi yang di panggil Sabbath Day. 

Jumaat adalah hari mulia untuk umat Islam dan Ahad untuk agama Kristian. 

Pemilihan hari Sabtu ini ada kaitan dengan Allah mencipta langit dan bumi. 

Orang Yahudi juga percaya bahawa Tuhan telah mencipta langit dan bumi dalam masa 6 hari, mulai hari Ahad dan berakhir pada hari Jumaat. 

Namun orang Yahudi menambah bahawa Tuhan merasa penat lalu berehat pada hari Sabtu sambil menyandarkan belakang-Nya di atas Arasy. 

Kepercayaan Yahudi ini bahawa Allah perlu berehat disangkal oleh Allah dengan firmanNya dalam surah Qaf ayat 38 yang bermaksud: 

“Dan sesungguhnya telah Kami ciptakan beberapa langit dan bumi dan apa jua yang ada di antara keduanya dalam masa 6 hari, sedangkan Kami tidak disentuh oleh rasa keletihan.” 

Makanan “halal” bagi orang Yahudi di panggil kosher. 

Di bawah konsep kosher:-
(i) mereka tidak makan daging babi, 
(ii)ternakan perlu di sembelih, 
(iii) susu + daging tidak di jamah bersekali dalam masa 2 jam, (iv) apabila memasak ikan perlu lengkap seekor penuh dengan insang serta tulangnya tidak ditanggalkan. 

Walau bagaimanapun, ramai Yahudi tidak mematuhi larangan tersebut sekarang. Di Israel sekarang sudah ada sebuah swine slaughter house.

Kita pernah mendengar Orthodox Jew, iaitu kumpulan Yahudi yang sangat mengambil berat diatas hukum-hakam agama mereka. 

Wanita mereka memakai pakaian menutup aurat seperti memakai gown labuh, berbaju lengan panjang serta menutup rambut dengan scarf. Pakaian yang beradab ini sangat kuat di amalkan di kawasan bernama Me’a She’arim di Jerusalem dan kawasan Bnei Brak dekat Tel Aviv. 

Jangan sesekali pelancong wanita memasuki ke kawasan ini dengan pakaian yang tidak sopan. Bagi yang lelaki pula bermisai serta berjambang panjang, menutup kepala mereka dengan topi hitam dengan berbagai saiz. 

Kesemua mereka, lelaki maupun perempuan berjalan pantas tanpa banyak menoleh ke kiri atau ke kanan. Mereka seberapa boleh mengelak daripada di ambil gambar. Sebenarnya bilangan Orthodox Jew ini tidak ramai hanya dalam lingkungan 500,000 orang sahaja.

Boleh ke kita menggunakan produk ciptaan Yahudi?

Umat Islam dibenarkan membeli, menjual, menggunapakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal. Nabi Muhammad saw pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda. 

Walau bagaimanapun jika kita mempunyai bukti yang kukuh lagi sahih, keuntungan sesuatu urusniaga digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, maka hukum “harus” berurus niaga tadi menjadi “haram”. 

Andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Kita hanya sekadar berhati-hati dan jika boleh mengelakkan diri daripada berurusniaga dengan pihak berkenaan.

Jika kita tengok sejarah, kaum Bani Israel banyak di beri keistimewaan oleh Allah. Mereka memperolehi paling ramai para nabi dan rasul, tanah mereka cukup subur, mereka menganggap diri mereka sebagai kekasih Allah dan berbagai lagi. Akan tetapi mereka kufur dengan ajaran dan perintah Allah. 

Surah al-Jumu’ah ayat 5 bermaksud: 

Dimisalkan orang-orang yang di bebani kitab Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya, adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab (yang besar faedahnya). Amatlah buruknya perumpamaan kamu yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi pertunjuk kepada mereka yang zalim”. 

Ayat tersebut di atas sudah cukup jelas di mana kedudukan Bani Israel dari pandangan Allah!

No comments:

Post a Comment