Monday, December 19, 2016

"SETIAP PERKARA DINILAI BERDASARKAN NIAT"

Cabutan dari artikel NOOR SYAHIDA ABDUL RAHMAN (2013)
                                    (Kolej Universiti Islam Antarabangsa)

Kaedah asas   qawa'id fiqhiyyah ialah "setiap perkara dinilai berdasarkan niat".

Dalam Islam, niat sangat penting bagi menentukan sesuatu amalan itu memperolehi:-
 (i)   pahala atau dosa;
(ii)   halal atau haram;
(iii)  sah atau batal; dan
(iv)  wajib atau sunat. 

NIAT adalah berazam untuk melaksanakan ibadah semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah.

HUKUM NIAT dalam ibadah adalah wajib. Nasnya ialah surah al-Bayyinah 98 : ayat 5. 

TEMPAT NIAT adalah dalam hati. Tidak perlu lafaz, hanya perlu terlintas dalam hati sahaja. 

Tetapi jika ada lafaz bersama-sama niat dalam hati, ia boleh diterima juga. Lafaz adalah sunat mengikut mazhab Syafie dan sebahagian besar ulama mazhab Hanafi. Ada ulama mazhab Hanafi berpendapat ianya makruh, dan pendapat ini juga dikongsi dengan mazhab Maliki.

                      -----------@----------------

Ittifaq ulama menyatakan sekiranya kita ada niat untuk melakukan kebaikan tetapi gagal melaksanakannya kerana terdapat kesulitan (masyaqqah), kita akan dapat pemberian pahala oleh Allah.

Contoh:
(i)  Kita masuk masjid dengan tujuan untuk membuang air kecil, kita tidak dapat ganjaran pahala. Tetapi jika niat beriktikaf (penulis TIDAK menyatakan kena solat sunat iktikaf), insyaAllah akan dapat ganjaran pahala.

(ii)   Kita perah anggur dengan niat membuat cuka, harus hukumnya. Jika berniat buat arak, maka hukumnya haram.

(iii)  Kita mandi kerana hendak sejukkan badan, harus hukumnya. Tetapi jika niat mandi kerana bertujuan ibadat, akan dapat pahala.

(iv)  Jika kita jumpa barangan tercicir, dan kita niat hendak memilikinya, maka berdosa. Tetapi jika berniat hendak mencari pemiliknya, maka dapat pahala.

(v)  Sekira kita masuk tidur dengan niat hendak bagun solat tahajjud (amalan setiap malam) tetapi tertidur hingga ke subuh, ia akan dapat pahala,

Berikut ialah niat baik, tetapi amalan jahat. Ini juga tidak diterima oleh Allah:
(i)     mencuri untuk membantu si miskin;
(ii)   menderma untuk mendapat perhatian orang ramai;
(iii)  minum arak kerana hendak menghilangkan kerisauan.

                         ------------@-------------

Kaedah asas ini (Setiap perkara dinilai berdasarkan niat) ada tiga lagi kaedah kecil yang bernaung di bawahnya:-

(i) Sesuatu lafaz berdasarkan niat orang yang melafazkannya.

  Contoh: Suami mengulang-ulang lafaz cerai kepada isterinya. Hanya suami tersebut tahu maksud sebenar ulangan itu, adakah hanya bermaksud satu talak atau bilangan talak mengkut bilangan ulangan berkenaan.

(ii) Niat dalam sumpah dapat mengkhususkan lafaz umum tetapi tidak mengumumkan lafaz khusus.

Contoh lafaz yang mengkhususkan lafaz umum: A bersumpah tidak akan bercakap dengan seseorang. Tetapi yang dimaksudkan seseorang itu ialah rakannya B. Maka sumpah itu releven kepada B sahaja, bukan dengan semua orang.

Contoh lafaz yang mengumumkan lafaz khusus: C bersumpah dia tidak akan minum biar dahaga sekalipun. Sumpah ini relevan kepada minum air sahaja, tidak termasuk makan nasi dan sebagainya.

(iii) Amalan fardu tidak terlaksana dengan niat sunat.
Amalan fardu tidak sah dengan niat sunat. 

                            ------------@-------------

Fungsi disyariatkan niat:-
(i) membezakan antara ibadah dengan perbuatan adat;
(ii) membezakan status ibadah, sama ada fardu, sunat, qada atau tunai.
(iii) menentukan sah atau tidak perbuatan ibadah tersebut.

No comments:

Post a Comment